Raja Muda Kedah dahului penerima darjah kebesaran

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin
A
A
A

ALOR SETAR – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin mendahului senarai 62 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad.

Tengku Sarafudin menerima Darjah Kerabat Kedah pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit,di sini.

Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff menerima Darjah Kerabat Sallehuddin, manakala Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dikurniakan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah.

Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) membawa gelaran Datuk Seri kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Ketua Istiadat, Datuk Wira Mohd Omar Mohamed dikurniakan Darjah Paduka Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (DPSS) membawa gelaran Datuk Paduka, manakala Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGMK) membawa gelaran Datuk Wira dianugerahkan kepada Presiden Majlis Jaksa Pendamai Kedah, Datuk Syed Azizan Syed Mohamad Al-Idrus dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Azman Narudin dan Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia,Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salin, menerima Darjah Datuk Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk.

Antara 21 penerima Darjah Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) membawa gelaran Datuk ialah Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Hakim Mahkamah Tinggi Sungai Petani 1, Chan Jit Li; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Mohd Isa Shafie; Pegawai Daerah Kulim, Abdul Bari Abdullah; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Aroff Darus.

Turut menerima anugerah sama, Pegawai Daerah Bandar Baharu, Rohaizad Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kamarudin Abd Akib; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Marzunisham Omar; Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Ar IDr Azman Md Hashim; Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Ahmad Faisol Omar.

Turut dianugerahi DSDK ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd, Mohd Sahil Zabidi; Perunding Kardiologi Timbalan Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara, Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi; Pakar Perunding Perubatan Jabatan Perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Dr P Tharmalingam; Panel Bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), I Devan; Klinik Haji Ayaz, Dr Ayaz Ahmad Mohamed Salleh Khan; Ketua Pegawai Eksekutif Putra Medical Centre (PMC), Lee Gaik Cheng; Setiausaha Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Md Noor Udoh; Ahli Jawatankuasa Biro Penerbitan Dan Pemasaran Persatuan Sejarah Malaysia, Abdul Halim Taib serta Pengerusi Wantas Shipping Langkawi Sdn. Bhd, Lim Thye Kiang.

Sultan Sallehuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Datuk Setia Pahlawan (DDSP) membawa gelaran Datuk kepada lima individu termasuklah Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad; Panglima Logistik Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat (MK PLTD) Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Abdul Aziz Samsi@ Shamsudin dan Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Chan Peng Cheong.

Baginda turut memperkenankan pelantikan Jaksa Pendamai (JP) kepada Exco Alam Sekitar, Dr Robert Lin Kui Ee.

Sultan Sallehuddin turut memperkenankan Penganugerahan Bintang-Bintang Kebesaran Setia Sultan Sallehuddin (SSS) dianugerahkan kepada seorang penerima dan Setia DiRaja Kedah (SDK) dianugerahkan kepada 25 orang penerima.