Zainal Abidin mahu pelbagaikan gaya permainan Penang FC

Aksi pemain tuan rumah, Anselmo Arruda Da Silva ketika cuba menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super 2022 menentang pasukan PJ City di Stadium Bandaraya malam Sabtu. - Foto Bernama.

Aksi pemain tuan rumah, Anselmo Arruda Da Silva ketika cuba menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super 2022 menentang pasukan PJ City di Stadium Bandaraya malam Sabtu. - Foto Bernama.

A
A
A

PENGENDALI baharu Penang FC, Zainal Abidin Hassan merancang untuk mempelbagaikan gaya permainan pasukan di samping mengekalkan senjata yang ada pada skuad Harimau Kumbang itu.

Beliau bagaimanapun tidak dinafikan senjata sulit pasukan Penang FC adalah pemain import Brazil Anselmo Arruda Da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande.

"Benda yang baik harus saya kekalkan sambil mempelbagaikan gaya perlawanan supaya pasukan lawan tidak dapat membaca permainan dengan semudahnya.

"Mereka masih baharu dengan saya. Mereka ada cuba membuat sesuatu baharu tapi ada juga menggunakan senjata yang selalu digunakan iaitu mencari Casagrande dan ia masih lagi menjadi apabila dia dapat menjaringkan gol,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Petaling Jaya (PJ) City FC malam Sabtu.

Begitupun Penang FC kekal di kedudukan tercorot Liga Super ketika ini selepas terikat 1-1 menentang PJ City FC di Stadium Bandaraya.

Mengulas mengenai corak permainan pada perlawanan itu, beliau berkata, skuad Harimau Kumbang tidak dapat bermain dengan cemerlang kerana dihantui tekanan untuk meraih tiga mata.

"Pada separuh masa pertama mereka masih terumbang ambing, namun mula nampak peningkatan yang baik pada separuh masa kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan.

"Bagaimanapun, pasukan kembali terumbang-ambing apabila Casagrande dikeluarkan kerana tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan pada minit ke-70,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PJ City, P Maniam berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi pasukannya yang disebabkan oleh keserasian dan keharmonian pasukan tersebut.

"Pasukan PJ City semua terdiri daripada pemain tempatan dan harmoni pasukan adalah kekuatan kami. Malah staf kejurulatihan dan pengurusan juga adalah dari tempatan. Kami bekerjasama dan bersatu, sebab itu kita bermain dengan baik,” katanya. - Bernama