Wujudkan peraturan isytihar sumber kewangan

Kerajaan perlu mewujudkan peraturan yang memerlukan parti politik mengisytihar sumber kewangan secara berkala bagi memastikan tidak wujud rasuah atau salah guna kuasa. Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Muhammad Fathi
Kerajaan perlu mewujudkan peraturan yang memerlukan parti politik mengisytihar sumber kewangan secara berkala bagi memastikan tidak wujud rasuah atau salah guna kuasa. Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Muhammad Fathi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan peraturan yang memerlukan parti politik mengisytihar sumber kewangan secara berkala bagi memastikan tidak wujud rasuah atau salah guna kuasa.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, laporan itu penting bagi memastikan parti politik tidak mendapat sumber kewangan secara rahsia sebagaimana yang wujud ketika ini.

"Parti politik perlu mempunyai laporan akaun secara berkala bagi memaklumkan semua transaksi yang ada termasuk sumbangan diterima serta perbelanjaan.

"Peraturan itu juga perlu diperketatkan supaya institusi tertentu tidak dibenar menyalurkan sumbangan kepada parti politik, misalnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat yang mempunyai projek dengan kerajaan kerana ia boleh mendorong kepada elemen rasuah atau diberikan sebagai habuan projek yang diberi oleh pemimpin kerajaan," katanya kepada Sinar Ahad.

Mengulas lanjut, Mohammad Fathi berkata, Malaysia perlu mempunyai satu mekanisme yang mewajibkan dana politik atau sumbangan yang diterima direkodkan, terutama apabila melibatkan jumlah yang besar.

Justeru katanya, rekod tersebut perlu dikawal selia oleh institusi khas bagi memastikan wujud keadilan antara parti politik dan persaingan sihat dalam proses demokrasi.

"Malaysia tidak ada peraturan jelas yang dapat mengawal aktiviti pendanaan politik dan jika ada sekalipun, ia terlalu ringkas dan tidak berkesan sedangkan isu berkaitan pendanaan amat penting untuk ditangani kerana boleh membawa kepada penyelewengan dan rasuah jika tidak ditangani dengan berkesan.

"Dalam hal ini, kita melihat bahawa ia menjadi keperluan untuk adakan undang-undang atau peraturan yang dapat mengawal dana politik sekali gus mengelakkan berlaku rasuah dan ketirisan dalam pengurusan kewangan negara," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Fathi berpandangan, kerajaan juga perlu mewujudkan satu peraturan yang menghalang sumbangan kewangan dari luar negara kepada parti politik bagi memastikan orang luar tidak terlibat agenda politik negara.

"Sudah sampai masanya kerajaan buat satu peraturan yang memberikan peruntukan tahunan kepada parti politik supaya mereka memiliki wang untuk tujuan perbelanjaan pentadbiran, kempen dan pengurusan pilihan raya.

"Bukan perbezaan dari sudut jumlah yang diberikan, tetapi satu peraturan yang menyeluruh perlu dikuat kuasa bagi memastikan parti politik memiiliki sumber kewangan yang jelas," ujarnya.