24,430 rumah mampu milik dibina kerajaan NS sejak 2018

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 24,430 unit rumah mampu milik (RMM) telah dibina oleh kerajaan Negeri Sembilan sejak tahun 2018.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyediakan RMM buat rakyat terutamanya bagi golongan B40.

Menurutnya, komitmen itu dizahirkan melalui pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mewajibkan setiap pemaju membangunkan 50 peratus RMM dalam setiap kawasan perumahan baharu.

"Daripada 50 peratus komponen tersebut, sebanyak 20 peratus adalah bagi RMM yang berharga maksimum RM80,000.

"Bagi 15 peratus lagi adalah berharga di antara RM81,000 ke RM50,000 dan baki 15 peratus lagi adalah bagi rumah yang berharga di antara RM251,000 sehingga RM400,000," katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya pada Jumaat.

Ujarnya, sebanyak 7,518 buah RMM Type A berharga RM80,000 telah lulus bagi Kebenaran Merancang di seluruh Negeri Sembilan sejak Jun 2018 sehingga bulan Mac yang lalu.

Katanya, jumlah itu termasuk projek-projek perumahan berada dalam fasa pembinaan dan juga projek-projek RMM Type A yang telah pun siap dibina.

"Selain itu sebanyak 8,467 unit RMM Type B dan 8,445 unit RMM Type C telah diluluskan Kebenaran Merancang sejak tahun 2018.

"Jumlah itu menjadikan sebanyak 24,430 unit RMM telah dibina oleh kerajaan Negeri Sembilan sejak tahun 2018," ujarnya.