Analisa pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di fasa akhir

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini sedang di fasa akhir analisa dan akan diputuskan mengikut saluran undang-undang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau telah memberikan tempoh yang panjang kepada 37 pemilik rumah teres untuk berbincang dengan pemaju bagi mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun katanya, perbincangan antara kedua belah pihak itu menemui jalan buntu dan keputusan serta-merta perlu dilakukan dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

"Proses pengambilan tanah sepatutnya dibuat pada Disember lalu, namun saya minta proses itu ditangguhkan sekejap.

"Dari segi peruntukan undang-undang, saya tak boleh berbuat demikian tapi ia dilakukan bagi memberi ruang perbincangan antara kedua belah pihak, " katanya pada siaran langsung di Facebook beliau pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas status terkini bantahan melibatkan 37 pemilik rumah teres yang menggesa pewartaan pengambilan tanah terlibat bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dimansuhkan.

Shahidan berkata, permintaan penduduk berkenaan akan melibatkan semua pihak selain perlu mengambil kira 291 penduduk yang telah mengosongkan unit selepas bersetuju dengan projek tersebut.

"Ke mana mereka yang telah kosongkan rumah ini akan dipindahkan, mereka tak boleh pindah ke rumah lama kerana rumah lama telah rosak.

"(Kerajaan) kena juga bayar ganti rugi kepada pemaju dan jumlahnya melibatkan kos yang tinggi, " katanya.

Justeru katanya, penyelesaian akan mengambil kira semua pihak dan akan diputuskan serta-merta serta tidak boleh ditangguhkan lagi.

Pada Selasa, Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PKPHKSB) memohon Shahidan untuk membantu menyelesaikan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu yang telah berlarutan selama enam tahun bagi membolehkan projek dimulakan agar hasrat mereka berpindah ke rumah baharu terlaksana.

Ia sebagai maklum balas daripada sidang media yang dibuat oleh pemilik rumah teres bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pada Ahad yang menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka.

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pengambilan tanah Kampung Sungai Baru itu sewajarnya diteruskan kerana memenuhi syarat perundangan di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dan 89 peratus penduduk terlibat telah bersetuju dengan pembangunan semula kawasan tersebut.