Penyelewengan minyak: Tutup operasi, gantung lesen pengusaha stesen

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam(kiri) menunjukkan lori yang telah diubah suai untuk mengisi minyak diesel menerusi serbuan di sebuah stor haram di Klang pada Rabu lalu.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam(kiri) menunjukkan lori yang telah diubah suai untuk mengisi minyak diesel menerusi serbuan di sebuah stor haram di Klang pada Rabu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan penggantungan lesen dan penutupan operasi terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi di negara ini.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, isu ketirisan barang bersubsidi terutamanya ke atas bahan petroleum diesel dan RON 95 bersubsidi dilihat semakin berleluasa kebelakangan ini.

Menurutnya, menerusi beberapa siri operasi dijalankan, KPDNHEP mengesan beberapa pihak termasuk pengusaha stesen minyak yang dipercayai bersekongkol dengan kegiatan penyelewengan ini.

"Saya nak ingatkan, tindakan tegas akan terus diambil, dan bukannya lagi amaran, seharusnya pengusaha stesen minyak lebih tahu tentang peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Jadi tindakan penutupan operasi dan penggantungan lesen akan terus diambil sekiranya mereka terlibat dalam kegiatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Stor Ekshibit Sri Muda, Shah Alam di sini pada Jumaat.

Katanya, berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDNHEP kebelakangan ini, berlakunya peningkatan ke atas jumlah kes dan nilai rampasan ke atas bahan petroleum berkenaan.

"Bermula 1 Januari sehingga 31 Mei 2022, sebanyak 54 kes telah direkodkan berkaitan petrol RON 95 melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 365,116.00 berbanding tahun 2021 dalam tempoh yang sama sebanyak 49 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 96,787.00.

"Bagi kes yang melibatkan diesel juga turut berlaku peningkatan yang tinggi iaitu tahun 2022 sebanyak 128 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 3.06 juta manakala bagi tahun 2021 dalam tempoh yang sama pula sebanyak 52 kes melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 2.20 juta," katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik yang dinyatakan, terdapat peningkatan kes yang ketara bagi diesel dan petrol RON 95 bersubsidi pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

"Antara faktor peningkatan kes tersebut adalah disebabkan perbezaan harga yang ketara antara industri dan subsidi (stesen minyak).

"Selain itu faktor harga di negara jiran yang lebih tinggi berbanding harga di dalam negara dan ia sekaligus menyumbang kepada meningkatnya aktiviti penyelewengan dan penyeludupan ke atas bahan petroleum berkenaan," katanya.

Tambahnya, KPDNHEP akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan secara besar-besaran untuk membanteras jenayah penyelewengan dan penyeludupan diesel dan RON95.

Ujar Azman, KPDNHEP turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang bersubsidi termasuk bahan petroleum.

Dalam pada itu, Azman berkata operasi yang dijalankan di Klang pada Rabu lalu telah merampas kira-kira 5,000 liter minyak diesel bersubsidi dan sebuah lori dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM37,750.

"Operasi dijalankan ini berjaya mengesan sebuah lori yang telah diubah suai untuk menyimpan minyak diesel.

"Taktik yang digunakan ini dipercayai telah dijalankan sejak beberapa bulan lalu ini dipercayai antara modus operandi terkini yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.