Pencapaian pelajar MRSM dalam SPM memberangsangkan: Mahdzir

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 5,827 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian tinggi dalam semua subjek peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, pencapaian pelajar MRSM adalah kejayaan yang memberangsangkan susulan mereka merupakan kohort yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, calon-calon SPM 2021 ini berhadapan dengan cabaran pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya berpeluang mengikuti pembelajaran secara bersemuka selama tiga bulan sahaja.

"Mengambil kira cabaran yang dihadapi, 904 orang calon MRSM memperoleh semua A merangkumi A+, A dan A-,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, keputusan bagi subjek Bahasa Melayu menunjukkan pencapaian Gred Purata Subjek (GPS) 1.097 dengan 6,682 calon memperoleh gred A, manakala subjek Bahasa Inggeris mencapai GPS 1.577 melibatkan 5,749 calon.

Katanya, secara keseluruhan keputusan SPM 2021 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.536 dengan empat maktab merekodkan prestasi cemerlang dengan GPM kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Taiping, Perak; MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka; MRSM Langkawi, Kedah dan MRSM Tun Abdul Razak, Pahang. - Bernama