Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 2022 kekal berada di landasan

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) ketika meninjau fasiliti di Stesen MRT Kampung Batu pada pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, pada Khamis. Hadir samaMenteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (dua, kanan).- Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) ketika meninjau fasiliti di Stesen MRT Kampung Batu pada pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, pada Khamis. Hadir samaMenteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (dua, kanan).- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia di antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus bagi tahun ini masih kekal berada di landasan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata bagaimanapun, situasi boleh berubah justeru kerajaan sentiasa memantau kemajuan dalam ekonomi.

"Kita perlu terus memantau kemajuan itu untuk memastikan tindak balas monetari dan fiskal yang wajar telah dilakukan untuk menjamin ekonomi kita semakin berkembang walaupun menghadapi cabaran.

"Ia akan menjadi dugaan bukan hanya buat Malaysia malah ekonomi lain di dunia kerana kita menghadapi cabaran semasa,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen Kampung Batu, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ekonomi Malaysia akan mengalami kemerosotan atau sebaliknya memandangkan kebimbangan mengenai kemelesetan semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS).

Tengku Zafrul berkata, unjuran ekonomi AS yang disemak semula masih tidak menunjukkan berlakunya kemelesetan sebaliknya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi sederhana.

"Malaysia, sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, secara jelasnya terkesan dengan pertumbuhan yang dicapai oleh negara-negara maju seperti AS, di Eropah dan China,” katanya.

Mengenai inflasi, beliau berkata, Malaysia masih berada dalam lingkungan unjuran 2.3 peratus hingga 3.3 peratus bagi 2022.

Sebelum itu, pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kemudiannya menaiki MRT Laluan Putrajaya dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Sri Damansara Sentral di sini. - Bernama