Harimau Malaya semakin garang, berani faktor layak ke Piala Asia

Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Bangladesh pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa lalu.- Foto Bernama
Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Bangladesh pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa lalu.- Foto Bernama
A
A
A

SEMAKIN garang dan berani. Karakter baharu skuad Harimau Malaya ternyata menjadi senjata utama yang membawa Malaysia menempa sejarah layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas 42 tahun.

Pemerhati bola sepak tempatan Dr Pekan Ramli berkata, ini dapat dilihat menerusi corak permainan memukau termasuk ‘high pressing’ yang seiring dengan gaya bola sepak moden, serta keyakinan diterapkan ketua jurulatih Kim Pan Gon kepada anak buahnya ketika pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Beliau berkata, jurulatih dari Korea Selatan itu juga wajar diberikan pujian atas hasil kerja keras serta taktikal menarik dipamerkannya sejak dilantik Februari lepas, yang memberi nafas baharu kepada pasukan negara.

"Pemain kita main dengan tahap keyakinan tinggi dan berani, tidak seperti sebelum ini, tapi kena ingat juga, kemenangan ini jangan sampai kita tak buat persediaan betul-betul.

"Sebab nanti ketika latihan pusat diadakan, waktu itulah liga masih berlangsung, pasukan (negeri) tidak melepaskan pemain dan datang latihan hanya beberapa orang, jadi tak guna kita layak ke Piala Asia, benda remeh-temeh seperti itu kita tidak mahu berulang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, beliau tidak menafikan Malaysia juga bertuah kerana telah biasa bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil selain faktor sokongan padu pemain ke-12 diketuai kumpulan penyokong tegar skuad negara Ultras Malaya.

Malaysia memulakan kempen dalam saingan Kumpulan E dengan bergaya apabila menundukkan Turkmenistan 3-1, sebelum tewas tipis 1-2 kepada Bahrain.

Namun, kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh Selasa lepas, menyaksikan skuad kebangsaan mengumpul enam mata untuk berada di kedudukan kedua di belakang Bahrain, sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Asia selaku antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia adalah pada 1980 di Kuwait, selain pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007 dengan tiket sebagai tuan rumah. - Bernama