Remaja 15 tahun dalang curi motosikal ditahan

Shafa'aton (tengah) menunjukkan motosikal yang berjaya ditemui di IPD Sungai Buloh di sini pada Khamis.
Shafa'aton (tengah) menunjukkan motosikal yang berjaya ditemui di IPD Sungai Buloh di sini pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kegiatan satu sindiket curi motosikal didalangi remaja berusia 15 tahun terbongkar selepas polis menahan tujuh lelaki menerusi Op Lejang Kumpulan Haikal yang dijalankan selama lima hari di enam lokasi berasingan di sini bermula 7 Jun.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kumpulan tersebut menyasarkan motosikal jenis Yamaha LC135 dan Honda Wave untuk dijual kepada warga asing atau meleraikan komponen untuk kegunaan sendiri.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki Indonesia berusia 50 tahun pada 20 April, mendakwa motosikal Yamaha LC135 milik rakannya yang diletakkan di depan rumahnya telah hilang.

"Hasil risikan polis menjalankan serbuan dan rampasan di enam lokasi berasingan di sekitar Sri Damansara, Kuala Lumpur dan Sungai Buloh dan menahan tujuh lelaki tempatan berusia 15 hingga 22 tahun.

"Hasil soal siasat kesemua suspek mengaku terlibat sebanyak 25 kes curi motosikal dan kes pecah dobi. Kumpulan tersebut menjual motosikal kepada pendatang asing dengan harga RM500 hingga RM1,000.

"Modus operandi kumpulan ini ialah mencuri motosikal sebelum melerai dan mengambil komponen untuk kegunaan sendiri sebelum membuang rangka motosikal di semak serta sungai berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini pada Khamis.

Shafa'aton berkata, polis berjaya menemui kembali lima buah motosikal, tujuh rangka motosikal, empat bongkah enjin dan komponen motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan serta Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam satu operasi berasingan, enam lelaki tempatan berusia 15 hingga 17 tahun dikenali sebagai kumpula Adam EX turut ditahan kerana terlibat dalam kes curi motosikal jenis Honda EX5 di sini.

"Tangkapan telah dilakukan di lima lokasi di daerah ini pada 17 Mei hingga 19 Mei lalu dan mengaku terlibat dengan 15 kes kehilangan motosikal.

"Polis turut merampas enam motosikal, satu rangka dan enjin motosikal yang dianggarkan bernilai RM20,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan," jelasnya.