Rombakan kabinet, Jokowi lantik Menteri Perdagangan baharu

Jokowi
Jokowi
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan rombakan kecil kabinet pada Rabu, termasuk melantik Menteri Perdagangan baharu.

Beliau melantik Zulkifli Hasan sebagai Menteri Perdagangan yang baharu, susulan kritikan orang ramai terhadap langkah kurang berkesan yang dilaksana Muhammad Lutfi dalam menguruskan bekalan minyak masak domestik baru-baru ini.

Joko Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi, turut melantik bekas panglima tentera Hadi Tjahjanto sebagai Menteri Hal Ehwal Pertanian dan Perancangan Tanah, menggantikan Sofyan Djalil.

Dalam satu siaran langsung, Jokowi berharap Zulkifli akan memastikan negara mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan ruji domestik, manakala Hadi boleh mempercepatkan proses sijil pemilikan tanah rakyat.

Rombakan itu termasuk melantik Raja Juli Antoni sebagai timbalan Hadi, John Wempi Watipo sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, dan Afriansyah Noor sebagai Timbalan Menteri Tenaga Kerja.

Terdahulu, semua menteri dan timbalan menteri baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Jokowi di Istana Merdeka, di sini. - Bernama