Imigresen tidak kompromi pegawai, kakitangan salah guna kuasa

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahguna kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperolehi wang secara mudah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jabatan itu akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melengkapkan siasatan yang dilaksanakan secara penuh professional.

"Merujuk kepada laporan mengenai penahanan tujuh pegawai imigresen, kesemua yang terlibat akan dikenakan tindakan undang- undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, penahanan pegawai tersebut kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pas dan dokumen imigresen secara tidak teratur.

"Mereka juga dituduh melindungi warga asing," katanya.

Media pada Selasa melaporkan tujuh anggota penguat kuasa antara sembilan ditahan di Sarawak dan Selangor bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai suapan lebih RM500,000.

Khairul Dzaimee berkata, tangkapan tersebut dilakukan hasil kerjasama pihaknya bersama SPRM.