MGB Berhad lulus bayaran akhir dividen pemegang saham

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San
Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San
A
A
A

SHAH ALAM - MGB Berhad iaitu anak syarikat LBS Bina Group Berhad mengumumkan pembayaran akhir dividen sebanyak 0.493 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Pengumuman itu dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-20 yang diadakan secara maya dimana kesemua sembilan resolusi yang dibentang untuk pertimbangan telah diluluskan oleh para pemegang sahamnya.

Dividen berjumlah kira-kira RM2.92 juta akan dibayar pada 20 Julai ini kepada pemegang saham yang namanya tercatat dalam Rekod Pendeposit pada 28 Jun 2022.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, MGB turut menerima kelulusan untuk membeli balik sehingga 10 peratus daripada jumlah bilangan saham terbitan sedia ada dalam Syarikat.

“Kami berbesar hati menerima sokongan para pemegang saham dan mencapai keputusan positif pada mesyuarat AGM ke-20 ini. Tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar kerana kita berdepan dengan isu geopolitik dan inflasi yang merupakan antara cabaran untuk syarikat pembinaan.

“Namun begitu, kami akan terus berusaha dan melaksanakan projek kami. Setakat ini, MGB telah membina lebih daripada 19,000 unit hartanah, memanfaatkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalaman kami yang telah membantu menyiapkan lebih daripada 5,000 unit rumah,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sehingga 31 Mei 2022, buku pesanan pembinaan MGB berjumlah RM1.64 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM2.15 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah.

“Pada masa ini, MGB berada di dalam keadaan stabil dan konsisten untuk beberapa tahun akan datang. Sebagai tambahan, kami gembira untuk mengumumkan kelulusan bagi pembayaran dividen sebanyak 0.493 sen sesaham kepada para pemegang saham kami.

“Ini menjadikan dividen akhir pertama yang akan dibayar dalam sejarah syarikat kami. Selaras dengan kemajuan MGB, kami berharap untuk terus konsisten di dalam memberi ganjaran kepada pemegang saham kami,”katanya.