Ugut bunuh teman wanita, warga Myanmar didakwa

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penganggur warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut ingin membunuh dan mencederakan teman wanitanya yang merupakan warga tempatan.

Thike Soe, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengatakan ingin membunuh Christina Dayang Yohanes Wator, 35, serta mendatangkan kecederaan kepada mangsa dengan menendang bahagian peha dan perut serta menampar dahi wanita tersebut.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Cempaka, Kelana Jaya, di sini, pada 7 malam, 17 Mac lepas.

Bagi tuduhan melakukan ugutan jenayah, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya manakala tuduhan mencederakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana tertuduh merupakan warga asing selain dia juga tidak mempunyai penjamin.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin dan menetapkan 6 Mei untuk sebutan semula kes. -Bernama

Artikel Berkaitan: