Lelaki mengaku tidak bersalah jual gambar lucah di media sosial

Mohammad Hafizzul Anas Kamaruzaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa atas pertuduhan menjual gambar lucah di aplikasi media sosial tiga tahun lepas. - Foto Bernama
Mohammad Hafizzul Anas Kamaruzaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa atas pertuduhan menjual gambar lucah di aplikasi media sosial tiga tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menjual gambar lucah di aplikasi media sosial tiga tahun lepas.

Mohammad Hafizzul Anas Kamaruzaman, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Hafizzul Anas didakwa dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter melalui akaun @lelakilelakise1 telah secara sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Bagi hantaran yang telah dilihat pada 17 Mei 2019, kira-kira jam 10.50 pagi di Tingkat 8, Menara MCMC 1, Cyberjaya, OKS yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala OKS tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes.- Bernama