Pertimbang kenaikan gaji tahunan penjawat awam

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta mempertimbangkan kembali pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) untuk penjawat awam berikutan kenaikan kos sara hidup.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengumumkan kenaikan satu KGT bagi penjawat awam yang sepatutnya berkuat kuasa setiap tahun bermula 1 Julai 2018.

Bagaimanapun katanya, Pakatan Harapan (PH) telah membatalkan pemberian tersebut setelah mereka mengambil alih kerajaan.

"Dengan kenaikan kos sara hidup, harga barang yang mendadak dan penyelarasan gaji minimum, Pemuda UMNO akan mencadangkan agar kerajaan meneruskan kembali hasrat kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu untuk penjawat awam dalam Bajet 2023 akan datang.

“Satu lagi alternatif lain adalah dengan menaikkan imbuhan tetap atau elaun layak untuk penjawat awam termasuk Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) dan Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) bagi kelayakan diploma ke bawah serta kelayakan ijazah ke atas,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pemuda UMNO akan berusaha untuk mengadakan pertemuan dan berbincang dengan pihak Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum membawa cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dipertimbangkan.

“Insya-ALLAH jika BN kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), politik stabil, ekonomi kembali pulih dengan pertumbuhan kembali memuncak dan keyakinan pelabur domestik serta asing untuk melabur secara pesat sebagaimana dahulu.

“Insya-ALLAH kenaikan gaji akan seiring dengan keupayaan negara dan keseimbangan kenaikan harga barangan,” jelasnya.