Lima suspek kes bunuh, bakar wanita dibebaskan dengan jaminan polis

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Lima suspek kes wanita yang dibunuh dan dibakar di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar, akhir bulan lepas (Mei) dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kesemua suspek termasuk teman lelaki mangsa dibebaskan dari lokap sementara pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

"Pihak polis telah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kami akan meneruskan siasatan sebelum suspek dituduh di mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, empat lelaki berusia 20 hingga 22 tahun ditahan selepas polis menahan teman lelaki mangsa berusia 20 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh itu ditemukan dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang, 31 Mei lepas.

Polis turut menemukan seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat itu yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kepala mangsa.

Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar mendapati punca kematian mangsa adalah akibat hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk. - Bernama