Isu kuil: Jangan emosi, bertindak lebih bijak

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Masyarakat India negara ini diharap supaya berfikir serta bertindak lebih bijak dalam menangani sebarang isu yang membabitkan kepentingan kaum itu.

Harapan itu disuarakan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar apabila beliau menyifatkan pendekatan sedemikian mampu mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat sehingga boleh mengundang ketegangan kaum.

Merujuk kepada kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya baru-baru ini, beliau menegaskan insiden seumpama itu tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak masing-masing saling memahami sensitiviti kaum serta undang-undang yang sedia ada.

“Saya difahamkan ada pihak telah menggunakan kumpulan lain untuk mengawal kuil terbabit dan tindakan ini telah disalahtafsir oleh masyarakat India sehingga mencetuskan rusuhan.

“Bagaimanapun, dalam isu kuil ini semua pihak sepatutnya bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk mencari penyelesaian yang terbaik. Sebarang tindakan yang berasaskan kepada emosi, maklumat yang tidak tepat hanya akan menambah lagi ketegangan kaum,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Sivakumar, semua pihak seharusnya menghormati prinsip asas undang-undang dalam menyelesaikan sesuatu perkara termasuklah memberi kerjasama serta laluan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan dan sebagainya.

Pada masa sama, beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP itu percaya bahawa masyarakat India di negara ini sentiasa memberikan sokongan serta keyakinan penuh kepada kerajaan dalam mencari jalan menyelesaikan masalah itu untuk kebaikan kaum itu.

Terdahulu, Sivakumar mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya selain berkongsi pandangan mengenai isu-isu semasa.

Artikel Berkaitan: