KPDNHEP Perak gagalkan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi

Pegawai KPDNHEP Perak menjalankan pemeriksaan pada sebuah lori tangki yang digunakan dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Pantai Remis, Manjung pada Isnin. - Foto Ihsan KPDNHEP Perak
Pegawai KPDNHEP Perak menjalankan pemeriksaan pada sebuah lori tangki yang digunakan dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Pantai Remis, Manjung pada Isnin. - Foto Ihsan KPDNHEP Perak
A
A
A

LUMUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak berjaya membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Pantai Remis, Manjung di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, risikan mendapati terdapat aktiviti pembelian barang kawalan diesel dengan menggunakan lori tangki secara berulang.

"Hasil intipan mendapati sebuah lori tangki berulang kali mengunjungi stesen minyak tersebut untuk membeli minyak diesel dan melakukan pengisian ke dalam tangki kenderaan dalam tempoh satu hingga dua jam di stesen minyak yang sama.

"Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki yang berusia lingkungan 20-an telah mengisi sebanyak tiga kali di stesen yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya menahan pemilik stesen minyak berkenaan yang berusia 53 tahun untuk membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua premis perniagaan stesen minyak dan pemborong barang kawalan diesel ini disyaki adalah individu yang sama dan pernah mempunyai rekod kesalahan lampau dengan KPDNHEP.

"Aktiviti ini disyaki telah berlaku sejak kira-kira lima bulan lalu disebabkan harga minyak diesel (komersial) yang kini mencecah hampir RM5 seliter sedangkan harga minyak diesel di stesen minyak dijual pada harga RM2.15 seliter," katanya.

Saifullizan berkata, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita 23,200 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM202,000.

"Selain itu kita merampas sebuah lori tangki, tiga unit 'skid tank' serta dua nozel dan pam minyak diesel.

"Siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.