Premis hiburan gajikan GRO diserbu

Polis menahan empat wanita warga asing disyaki GRO dalam serbuan Op Noda di sebuah premis hiburan di Taman Usahawan, Kuala Lumpur pada Isnin.
Polis menahan empat wanita warga asing disyaki GRO dalam serbuan Op Noda di sebuah premis hiburan di Taman Usahawan, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sebuah premis hiburan di Taman Usahawan di sini yang menggajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) sebagai 'pelaris' bagi menarik pelanggan sejak tiga bulan lalu diserbu polis pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan pada jam 9 malam itu dijalankan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, Op Noda itu bertindak menahan empat wanita warga Vietnam disyaki GRO bersama seorang lelaki tempatan merupakan penjaga premis.

"Siasatan awal mendapati premis itu beroperasi seperti memiliki lesen, namun sebaliknya beroperasi secara haram sejak tiga bulan lalu.

"Kita percaya wanita warga asing itu digajikan oleh premis terbabit dan pelanggan perlu membayar tip atau upah RM100 hingga RM120 setiap jam untuk mendapatkan layanan wanita terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, polis turut merampas resit perniagaan dan peralatan audio untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992.

Pada masa sama, Habibi berkata, seramai 15 individu telah diperiksa melibatkan 13 pelanggan dan dua pekerja bagi proses dokumentasi.