Enrique puji persembahan mantap pemain La Roja

Soler meraikan jaringannya ketika membantu Sepanyol menewaskan Republik Czech di La Rosaleda, awal pagi Isnin.
Soler meraikan jaringannya ketika membantu Sepanyol menewaskan Republik Czech di La Rosaleda, awal pagi Isnin.
A
A
A

PENGENDALI Sepanyol, Luis Enrique memuji aksi dipamerkan anak buahnya ketika menewaskan Republik Czech 2-0 dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di La Rosaleda, pada Ahad.

Menurut Enrique, selepas melihat aksi La Roja pada perlawanan tersebut, dia yakin dan percaya barisan pemainnya mampu bersaing dengan pasukan terbaik di dunia ketika ini.

“Tidak ada sebab untuk saya tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan pasukan pada perlawanan ini.

“Lawan telah menunjukkan aksi terbaik dalam pelbagai aspek dan kami juga. Namun mungkin kami ada sedikit kekurangan berbanding lawan.

“Kami adalah ketua dan merupakan jeneral yang bagus. Cuba tanya pesaing-pesaing Sepanyol bagaimana rasanya bermain dengan pasukan ini, sudah tentu mereka gerun untuk berlawan dengan kami," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Sepanyol berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi Carlos Soler yang meledak masuk hantaran tepat Marco Asensio.

Pemain tengah La Roja, Pablo Sarabia menambah derita Republik Czech apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-75 untuk menoktahkan kemenangan Sepanyol.

Keputusan itu menyaksikan Sepanyol kekal selaku pendahulu kumpulan 2 Liga A dengan lapan mata daripada empat perlawanan dibezakan satu mata dengan penghuni tangga kedua Portugal.