Malaysia-Arab Saudi tingkat kerjasama dua hala tubuh SMCC

Ismail Sabri (tengah) ketika menerima kunjungan hormat Putera Faisal di pejabatnya di Putrajaya pada Rabu.
Ismail Sabri (tengah) ketika menerima kunjungan hormat Putera Faisal di pejabatnya di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Arab Saudi bersetuju meningkatkan lagi tahap kerjasama dua hala dengan menubuhkan Majlis Koordinasi Arab Saudi-Malaysia (SMCC), demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara isu yang dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan di Perdana Putra, Putrajaya pada Rabu lepas.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi pada Ahad, Ismail Sabri berkata, selain itu usaha untuk mengaktifkan semula inisiatif penubuhan Majlis Perniagaan Arab Saudi-Malaysia dalam masa terdekat serta isu-isu lain seperti kuota haji, pendidikan dan pelancongan turut dibincangkan dalam pertemuan itu.

"Malaysia akan terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi melibatkan perdagangan serta pelaburan dengan Arab Saudi,” menurut catatan itu.

Putera Faisal yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula 7 Jun lepas turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. - Bernama