Kaji implikasi Statut Rom

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN mengumumkan bahawa pada 4 Mac 2019 Malaysia menandatangani Rome Statute of International Criminal Court (ICC). Ia merupakan sebuah institusi kehakiman antarabangsa yang mengadjudikasi jenayah-jenayah berat melibatkan negara-negara Pihak.

Komitmen kerajaan untuk mengukuhkan pasak negara dalam mengutuk kekejaman di peringkat antarabangsa dilihat positif. Namun, kerajaan seharusnya mengambil langkah lebih teliti dan berwaspada.

Terdapat beberapa perkara yang menimbulkan persoalan dan wajar diperhalusi berhubung aplikasi serta implikasi Statut Rom dan bidang kuasa ICC terhadap kedaulatan negara dan Perlembagaan Persekutuan. Ia penting bagi mendepani risiko kemelut berhubung instrumen antarabangsa itu.

Antaranya, dengan menandatangani Statut Rom kita berserah (‘submit’) serta akur kepada bidang kuasa ICC selain mengiktiraf piawai serta undang-undang antarabangsa mengenai jenayah serius.

Artikel 1 Statut Rom memperuntukkan ICC mempunyai bidang kuasa untuk mengadjudikasi jenayah serius yang menyebabkan keresahan masyarakat sedunia.

Ia selaras dengan Artikel 5 bahawa ICC hanya memiliki bidang kuasa mengenai jenayah paling serius yang menimbulkan kebimbangan komuniti antarabangsa secara keseluruhan.

Tambahan pula, Artikel 21(1) menentukan keutamaan undang-undang terpakai ke atas ICC iaitu Statut Rom, Elemen Jenayah serta Peraturan Prosedur dan Bukti berada di kedudukan pertama dan mana-mana perjanjian atau konvensyen antarabangsa yang berkenaan serta prinsip dan peraturan undang-undang antarabangsa di tempat kedua.

Menurut Artikel 21(2) pula, pemakaian dan penterjemahan undang-undang di bawah Artikel ini mestilah selari dengan hak asasi manusia yang diiktiraf sedunia tanpa mengira gender, kaum, warna, bahasa, agama atau kepercayaan atau fahaman politik.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna, kita mengiktiraf dan berserah kepada piawai dan pendirian masyarakat antarabangsa mengenai apa yang dikatakan sebagai jenayah serius iaitu perbuatan yang bertentangan dengan hak asasi manusia, walaupun ia berkemungkinan bercanggah dengan agama, budaya dan norma tempatan.

Seterusnya, bidang kuasa ICC sendiri menimbulkan persoalan serta keraguan. Mengikut Artikel 5, ICC mempunyai bidang kuasa untuk mengadjudikasi serta membicarakan jenayah genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah peperangan dan jenayah pencerobohan.

Namun, persoalan timbul mengenai jenayah terhadap kemanusiaan kerana ia bersifat umum. Statut Rom cuba menyenaraikan perbuatan yang disifatkan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan di bawah Artikel 7(1) di mana ia merangkumi perbuatan yang membentuk sebahagian daripada serangan yang tersebar luas dan sistematik dengan mensasarkan mana-mana orang dengan pengetahuan tentang serangan tersebut.

Antara bentuk serangan yang dibuat adalah pemenjaraan atau penafian kebebasan fizikal melampau yang bercanggah dengan asas undang-undang antarabangsa, penderaan, dan penindasan terhadap satu kelompok berdasarkan politik, kaum, kewarganegaraan, etnik, budaya, agama, gender atau faktor lain yang diiktiraf secara sejagat sebagai bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Undang-undang antarabangsa kebiasaannya merujuk kepada Universal Declaration of Human Rights (UDHR), International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhumane or Degrading Treatment or Punishment (UNCAT).

Maka, persoalan berbangkit adalah sekiranya serbuan, tangkapan, tahanan atau hukuman terhadap penganut ajaran sesat seperti Syiah dan Ahmadiyah di bawah enakmen jenayah syariah di negeri dan wilayah persekutuan boleh dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Ini kerana menurut Artikel 18 UDHR dan ICCPR, setiap orang mempunyai kebebasan beragama dan bersuara serta berhak untuk menukar agama mereka tanpa sebarang paksaan agar kekal dalam sesuatu agama.

Artikel 27 ICCPR pula menyatakan kelompok agama minoriti tidak boleh dinafikan hak untuk mengamalkan agama mereka.

Antara aspek lain yang perlu diambil kira adalah sekiranya pesalah seksual, khususnya melibatkan pengamal LGBT di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan seks luar tabie dan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bagi kesalahan lelaki menyerupai perempuan, juga boleh disifatkan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Selain itu, ia berkaitan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 bagi kesalahan musahaqah atau seks sesama perempuan (lesbian).

Ini disebabkan hak privasi dilindungi Artikel 15 ICCPR manakala Artikel 26 melindungi kesamarataan bagi semua dan tiada sesiapa boleh didiskriminasi atas dasar jantina dan lain-lain aspek termasuk gender.

Di bawah Artikel 7 ICCPR pula, setiap orang berhak untuk tidak dikenakan penderaan, atau sebarang bentuk layanan mahupun hukuman yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sepertimana Artikel 1 UNCAT yang mentakrifkan penderaan sebagai apa-apa perbuatan yang mengakibatkan kesakitan atau kesengsaraan fizikal mahupun mental oleh penjawat awam terhadap penjenayah atas sebab hukuman.

Persoalan ini penting untuk menjamin agar Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan negara tidak tergugat khususnya mengenai undang-undang yang sering didakwa pelopor liberalisme dan hak asasi manusia sebagai menindas kelompok minoriti atas dasar gender, orientasi seks dan agama.

Ini kerana, adalah menjadi tanggungjawab dan prinsip agar negara Pihak mematuhi perjanjian antarabangsa yang ditandatangani.

Di pihak masyarakat sedunia juga terdapat ‘legitimate expectation’ agar negara Pihak mengambil langkah sewajarnya bagi mencapai keadilan dan menangani jenayah terhadap kemanusiaan di samping melindungi hak asasi manusia mengikut piawai antarabangsa.

Kerajaan juga sewajarnya merujuk perkara ini kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu kerana ia melibatkan campur tangan institusi asing terhadap kedudukan baginda selaku Ketua Agama Islam.

Dengan rundingan dan perbincangan secara meluas oleh pelbagai pihak, khususnya pakar dan pengamal perundangan serta institusi agama tentang implikasi Statut Rom dapat memastikan kedaulatan negara dan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan tidak tergadai.

* Penulis ialah Ahli Ikatan Muslim Malaysia (ISMA)