Perkukuh rantaian sosial membanteras rasuah

Nurhayati
Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Pertemuan bersama rakan gabungan, pemegang taruh serta orang awam menerusi Konvoi #RasuahBusters Utara yang bermula hari ini (Ahad) dijangka dapat mempertingkatkan penglibatan dan memperkukuh rantaian sosial pembanterasan rasuah di negara ini di peringkat akar umbi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, konvoi membawa misi menyebarkan kesedaran antirasuah dan membangunkan #nilaimoralkarakterbangsa ke negeri-negeri utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah serta Pulau Pinang dan konvoi itu akan berakhir pada 18 Jun ini.

“Di utara, kita akan adakan pertemuan-pertemuan dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan antaranya bagi mewujudkan pensejajaran misi dalam membentuk sebuah negara atau negeri berteraskan #NilaiMoralKarakterBangsa.

“Kita juga mahu membentuk usaha kolaboratif yang mampu menambah nilai di dalam program dan aktiviti yang sedia ada.

``Ini dilakukan dengan penglibatan kakitangan dan anggota masyarakat secara menyeluruh,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nurhayati memberitahu, konvoi itu juga akan bertukar perspektif dan pandangan dalam mencari solusi terbaik bagi menggiatkan pemulihan negara ke arah #MalaysiaTanpaRasuah.

Selain itu, menurut beliau, pertemuan bersama pelajar-pelajar di beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), universiti-universiti dan kolej-kolej di utara akan menjadi sebahagian usaha #RasuahBusters mendedahkan bahaya rasuah.

Katanya, ia kerana rasuah menjadi ancaman besar kepada pembangunan masa depan generasi akan datang selain pada masa sama dapat membentuk remaja dan belia sebagai ejen perubahan dalam masyarakat dengan akhlak mulia dan jati diri rakyat Malaysia yang sejati.

“Konvoi ini juga akan menjadi platform informasi untuk kita sebarkan semangat antirasuah dan menjalin kebersamaan gerakan rakyat kepada rakyat dalam membangun sistem nilai demi melahirkan #MalaysiaTanpaRasuah,” tegasnya.