Ismail Sabri luang masa saksi aksi Harimau Malaya menentang Bahrain

Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Stadium Nasional Bukit Jalil sambil diiringi Ismail Sabri bagi memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya pada Perlawanan Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 Malaysia menentang Bahrain pada Sabtu. Foto Bernama
Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Stadium Nasional Bukit Jalil sambil diiringi Ismail Sabri bagi memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya pada Perlawanan Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 Malaysia menentang Bahrain pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini meluangkan masa menyaksikan perlawanan kedua Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini.

Beliau tiba di gelanggang keramat Harimau Malaya itu pada jam 8.45 malam dan disambut oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin serta kepimpinan tertinggi badan induk itu.

Turut berangkat menyaksikan perlawanan malam ini Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selain Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut hadir di stadium itu.

Kira-kira lebih 60,000 penyokong setia skuad kebangsaan membanjiri stadium termasuk Ultras Malaya yang merancakkan suasana menerusi paluan gendang sambil bersorak.

Malaysia di ranking ke-154 dunia dan Bahrain (ke-89) memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan cemerlang selepas menewaskan lawan masing-masing Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 2-0 pada Rabu lalu sekali gus berkongsi tiga mata di tangga teratas Kumpulan E.

Pada aksi malam ini, pasukan negara kendalian Kim Pan-gon menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang layak ke Piala Asia sementara Bahrain, di bawah bimbingan Helio Sousa, enggan ego mereka tercalar apabila memburu tiga mata.

Untuk rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada Mei tahun lalu menyaksikan skuad tuan rumah, yang diberi julukan Dilmun’s Warriors menang 2-0 ke atas Malaysia ketika dibimbing bekas Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Sementara itu, Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook malam ini berkesempatan bertemu skuad Harimau Malaya untuk memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum perlawanan bermula.

"All the best, selamat berjuang! You all carry Malaysia flag...go for it!,” katanya dalam video berdurasi 43 saat itu.

Beliau berkata, sokongan jitu Keluarga Malaysia malam ini mampu memberi sokongan moral untuk skuad kebangsaan mencapai kemenangan. - Bernama