Maritim rampas 35 set bubu naga

Bubu naga yang dirampas oleh Maritim Malaysia pada Jumaat.
Bubu naga yang dirampas oleh Maritim Malaysia pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 35 set bubu naga di tiga lokasi berbeza di perairan Sungai Juru, pada Jumaat.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan dibuat selepas anggotanya melakukan rondaan rutin Op Pertiwi/Benteng di kedudukan lebih kurang 1.8 batu nautika barat daya Sungai Juru sekitar jam 3.30 hingga 4.15 petang.

Menurutnya, anggota penguat kuasa menemui beberapa pelampung yang mencurigakan di tiga lokasi berbeza seterusnya membuat pemeriksaan sebelum menemukan 35 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Kesemua bubu naga tersebut dirampas dengan anggaran nilai RM 4,200 dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Abd Razak berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jelasnya jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

"Masih terdapat individu yang berdegil menggunakan kaedah penangkapan hasil laut yang tidak dibenarkan dan Maritim Malaysia mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

"Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini," katanya.

Beliau berkata, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.