Felda bentang kertas cadangan bantu tangani krisis makanan: Mustapa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) memotong riben sebagai gimik perasmian mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) gugusan Kemahang di Felda Kemahang Satu, pada Sabtu. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) memotong riben sebagai gimik perasmian mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) gugusan Kemahang di Felda Kemahang Satu, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membentangkan kertas cadangan untuk membantu menangani krisis makanan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan hasrat kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama-sama membantu menangani krisis makanan.

"Felda sudah mempunyai cadangan, insya-Allah saya akan bentangkan kepada kabinet mengenai cadangan mereka (Felda) untuk membantu kerajaan dalam menangani krisis bekalan makanan khususnya dalam aspek menanam tanaman yang diperlukan untuk membuat makanan untuk haiwan ternakan.

"Kertas kerja sudah disediakan, ada beberapa perkara yang diberi tumpuan dalam isu ini," katanya kepada Bernama selepas Majis Perasmian Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Felda Kemahang 1, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang menjalankan kajian tentang modal pembangunan tanah Felda untuk membantu meningkatkan lagi prestasi agensi itu.

"Kajian ini penting bagi memastikan prestasi Felda dipertingkatkan lagi. Skop kajian ini melihat kepada bagaimana peneroka pelbagaikan pendapatan mereka," katanya. - Bernama