Tiga bersaudara mati lemas di Lata Changkah

Tiga mangsa meninggal dunia akibat lemas di kawasan air terjun Lata Changkah, Ulu Seladang, Setiu. Foto: ihsan PDRM
Tiga mangsa meninggal dunia akibat lemas di kawasan air terjun Lata Changkah, Ulu Seladang, Setiu. Foto: ihsan PDRM
A
A
A

SETIU – Kegembiraan enam sekeluarga berkelah di kawasan air terjun Lata Changkah, Ulu Seladang di sini berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka meninggal dunia akibat lemas pada Jumaat.

Mangsa yang maut merupakan dua beradik iaitu Syaridatul Nurfatihah Mohd Dera, 26, dan Syariatul Noor Safiqa, 24, dari Kampung Hilir Maras, Batu Rakit, manakala seorang lagi adalah sepupu mereka, Siti Aishah Mazalan, 19, dari Kampung Mengabang Telong.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian malang menimpa tiga wanita tersebut daripada orang awam pada jam 3.21 petang.

“Siasatan mendapati, semua mangsa pergi berkelah di kawasan itu seramai enam orang dan ketika hendak pulang pada kira-kira jam 2.30 petang, salah seorang mangsa telah tergelincir lalu terjatuh ke dalam air.

“Semasa jatuh, mangsa telah menarik dua lagi mangsa lain ke dalam air dan lemas,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Menurut Afandi, orang ramai yang berada di lokasi kejadian bertindak membantu dan berjaya menemui tiga wanita itu pada jam 3.15 petang.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keselamatan diri serta keluarga ketika berkunjung ke kawasan perkelahan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

“Elakkan berkelah dan mandi di tempat berisiko tinggi seperti kawasan air yang dalam serta mempunyai arus deras,” katanya.