Kongres PKR 16, 17 Julai ini: Saifuddin

Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan akhir bulan ini ditangguhkan ke 16 dan 17 Julai depan.
Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan akhir bulan ini ditangguhkan ke 16 dan 17 Julai depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan akhir bulan ini ditangguhkan ke 16 dan 17 Julai depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah meneliti beberapa dapatan dan syor yang dibentang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung proses aduan terutama bagi Pemilihan Keadilan 2022.

"MPP telah memutuskan bahawa tarikh baharu bagi Kongres Nasional ke-16 ialah pada 16 dan 17 Julai ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor.

"Ini setelah meneliti dan memberi pertimbangan kepada pembentangan JPP dengan mengambil kira tempoh masa diperlukan untuk mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara dibangkitkan, serta untuk memberi masa mencukupi kepada kepimpinan cabang yang baharu untuk membuat beberapa pelantikan.

"Kongres Angkatan Muda PKR Pusat serta Kongres Wanita Keadilan Pusat pula akan diadakan serentak pada 15 Julai ini di IDCC Shah Alam, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, Panel Aduan Pemilihan Keadilan 2022 akan terus meneliti aduan-aduan yang diberikan oleh anggota-anggota parti melalui saluran rasmi JPP 2022.

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution

Katanya, bertitik tolak daripada cadangan panel aduan, JPP 2022 bersetuju untuk mendapatkan khidmat pakar digital untuk melaksanakan audit secara menyeluruh terhadap sistem yang dibangunkan dan mereka kini sedang bertungkus lumus untuk memenuhi garis masa ditetapkan.

"JPP 2022 berpuas hati dengan kemajuan kerja-kerja juruaudit pakar digital dilantik dan yakin bahawa dapatan akan dikemukakan kelak akan dapat memberi penjelasan kepada persoalan serta kecelaruan pemahaman yang timbul dan ditimbulkan oleh pengadu-pengadu.

Sehubungan itu, JPP 2022 memerlukan sedikit masa lagi untuk tujuan ini sebelum memberikan senarai pemenang Pemilihan Keadilan 2022.

"Ia termasuk di peringkat pimpinan cabang, Wanita cabang, Angkatan Muda Keadilan cabang, serta di peringkat Pusat yang sudah dimuktamadkan dan rasmi kepada pejabat Setiausaha Agung untuk tujuan memuktamadkan perwakilan yang akan hadir ke Kongres Nasional," katanya.

Sebelum ini, Kongres PKR dijadualkan pada 24 Jun hingga 26 Jun ini di IDCC, Shah Alam.

Bagaimanapun, calon Naib Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Murbarak mendakwa, lebih 25,000 undi hilang dalam Pemilihan PKR 2022, baru-baru ini.

Turut didakwa seramai 147,000 ahli PKR mengundi calon Timbalan Presiden, namun undi diperoleh Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hanya berjumlah 119,030.

Justeru, Farhash menggesa supaya kongres parti itu ditangguhkan selagi audit forensik terhadap pemilihan parti baru-baru ini tidak selesai.