Pemilihan PKR: Farhash kemuka bantahan, Amirudin ucap terima kasih

Amirudin, Farhash (kanan)
Amirudin, Farhash (kanan)
A
A
A

GOMBAK - Calon Ketua Cabang Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak meluahkan keraguan terhadap keputusan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 cabang tersebut.

Farhash berkata, bantahan rasmi akan dikemukakan untuk menyiasat ketelusan keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada Ahad.

"Setelah meneliti keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR 2022 yang dikeluarkan, saya ingin menyatakan keraguan yang amat tinggi terhadap ketelusan dan kebenaran keputusan yang dikeluarkan itu.

"Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi yang kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan satu audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah-kaedah perlaksanaannya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, didapati keputusan undian fizikal dan pengundian dalam talian (PAT) bagi cabang Gombak adalah tidak munasabah berdasarkan data jumlah pengundi yang direkodkan pihaknya.

"Satu laporan forensik yang meneliti setiap undi PAT dan fizikal perlu dijalankan oleh satu entiti bebas yang dipersetujui oleh semua pihak.

" Saya berharap JPP dan pimpinan parti mengambil tindakan sewajarnya dan membetulkan keadaan sekiranya terbukti sistem pemilihan dan keputusan telah dikompromi," katanya.

Farhash peroleh 1,215 undi tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mendapat 1,858 undi.

Sementara itu, Amirudin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota cabang Gombak yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas jawatan sebagai Ketua PKR Cabang Gombak.

"Saya turut merakamkan penghargaan buat Farhash Wafa Salvador di atas persaingan sihat merebut jawatan itu.

"Ucapan terima kasih turut saya rakamkan buat para petugas JPP yang telah berjaya memastikan Pemilihan Cabang Gombak berjalan dengan lancar," katanya

Beliau turut mengajak seluruh anggota parti untuk kita perkukuhkan muafakat, merangkul seluruh kekuatan dan bersiap sedia mempertahankan Gombak sebagai kubu kuat PKR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).