Agong, Permaisuri hadiri istiadat mengarak panji

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyaksikan persembahan daripada Pancaragam ATM.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyaksikan persembahan daripada Pancaragam ATM.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi 2022 di Dataran Pahlawan Negara, di sini pada Jumaat.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang kemudian mengiringi pasangan diraja ke Peterana Diraja.

Sempena istiadat tersebut, sebanyak lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebanyak lima buah pesawat ATM turut terlibat iaitu tiga buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM diketuai oleh Mejar Nazrul Nizam Ismail TUDM dari No 10 Skuadron bersama dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri Che Wil.

Istiadat berkenaan melibatkan 131 pegawai dan 1,066 anggota lain-lain pangkat (LLP) di mana dari jumlah keseluruhan tersebut, seramai 57 pegawai dan 847 anggota LLP diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Fadzly Mohd Yasin, Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) adalah mereka yang terlibat dalam perbarisan istiadat berkenaan.

Turut hadir adalah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.