MAFI tidak cadang pinda Akta Perikanan 1985

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) buat masa ini tidak bercadang untuk meminda Akta Perikanan 1985 bagi menangani pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini kerana akta sedia ada dilihat sudah mencukupi untuk melindungi perairan perikanan negara.

Bagaimanapun katanya, aspek penguatkuasaan perlu ditingkatkan dalam menangani isu tersebut.

“Akta Perikanan (sedia ada) cukup untuk menangani isu itu kerana masalahnya adalah penguatkuasaan

“Jadi pelbagai agensi dipertanggungjawabkan untuk membuat pemeriksaan termasuk Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi yang lain untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan melindungi perairan negara kita daripada diceroboh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pra-Pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022 (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, secara asasnya nelayan asing tidak boleh memasuki perairan perikanan negara ini untuk membuat membuat tangkapan hasil laut.

“Sepatutnya nelayan asing tidak boleh masuk dalam kawasan perairan perikanan Malaysia. Kita cuma memberi lesen pelbagai kelas dalam industri perikanan ini kepada orang tempatan.

“Jadi kalau ada orang asing yang menceroboh di laut atau perairan perikanan kita, tentu sekali kita perlu tindakan (oleh) agensi penguatkuasaan untuk menghalang mereka,” katanya.