Celcom perkenal Metaverse perkhidmatan AR

Sebanyak 10 perkhidmatan AR akan tersedia untuk dinikmati pelanggan Celcom bermula 9 Jun 2022.
Sebanyak 10 perkhidmatan AR akan tersedia untuk dinikmati pelanggan Celcom bermula 9 Jun 2022.
A
A
A

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) dengan kerjasama Nonvoice telah melancarkan kandungan realiti diperkukuhkan (AR) terbaik untuk semua pelanggannya bagi membolehkan mereka mengalami sendiri pengalaman dan gaya hidup digital terkini.

Celcom dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu akan membekalkan pelanggannya dengan 10 aplikasi pengguna terkumpul dan bersepadu, memberikan pengalaman digital yang meliputi permainan AR, pendidikan, koleksi digital atau token tidak boleh digunakan (NFT) serta sukan di mana semuanya terdapat dalam satu portal.

“Pelanggan Celcom akan dapat akses secara eksklusif bukan hanya satu tetapi kesemua perkhidmatan AR yang eksklusif menerusi Aplikasi Celcom Life dengan hanya RM3 seminggu.

“Malaysia sedang mempercepatkan penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta pelancaran 5G akan datang. Celcom dan Nonvoice akan terus menambah kandungan yang baharu serta mengujakan setiap bulan bagi memastikan ia dapat memberikan nilai tambahan dan kepuasan kepada pengguna digital,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, mulai 9 Jun 2022, sebanyak 10 perkhidmatan AR akan tersedia untuk dinikmati oleh pelanggan Celcom seperti SCOAAR, Bookful, GFT Exchange, InvadARsX, BREAKAAR, Leo AR, World League Live Soccer, AwakeningX dan Reality Clash.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perniagaan Celcom Axiata Berhad, T Kugan berkata, Celcom teruja untuk berkolaborasi dengan Nonvoice dan memberikan inovasi baharu dengan perkhidmatan serta pengalaman digital yang menarik serta mengujakan kepada rakyat Malaysia.

“Metaverse dilihat sebagai ruang maya yang mengubah cara kita bermain, belajar dan bersosial. Kami sangat teruja dengan potensi pengalaman AR menerusi kolaborasi ini dan bagaimana ia akan mempengaruhi pelbagai bidang seperti pendidikan, hiburan serta aktiviti perdagangan.

“Kami yakin dengan inisiatif terbaharu Celcom ini, ia akan memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan digital dan set kemahiran untuk membantu mereka mengetahui potensi AR yang meluas dalam 'metaverse',” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu selari dengan komitmen Celcom untuk mempromosikan inovasi serta kemajuan teknologi untuk pengalaman pengguna yang luar biasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nonvoice, Simon Buckingham berkata, Nonvoice berbesar hati bekerjasama dengan Celcom untuk membawa Nonvoice Metaverse ke Malaysia.

“Kami teruja untuk lihat keterujaan dan kegembiraan pengguna dengan aplikasi serta perkhidmatan permainan realiti baharu yang diperkukuhkan dan boleh dimainkan dengan menggunakan peranti mudah alih mereka,” katanya.

Nonvoice merupakan sebuah agensi aplikasi 5G pertama di dunia yang telah berkolaborasi dengan pelbagai pihak yang merangkumi pengendali rangkaian mudah alih, vendor yang membekalkan peranti dan perisian serta pelbagai jenama terkemuka industri.

Nonvoice juga beroperasi dengan pakar bagi rangkaian global yang berakar umbi dalam pasaran dan bidang mereka, serta pelabur yang dapat membantu pencipta sistem aplikasi akses kepada dana untuk menyokong idea hebat mereka.