Skuad Muda bola sepak negara terus dirundung malang

Antara aksi pemain Harimau Muda ketika berdepan Vietnam pada Kejohanan Piala Asia U-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan. - Foto Facebook FAM
Antara aksi pemain Harimau Muda ketika berdepan Vietnam pada Kejohanan Piala Asia U-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SELEPAS kembali dari Sukan SEA 2021 Hanoi, Vietnam, bulan lepas dengan tangan kosong, skuad ‘Harimau Muda’ negara terus dirundung malang dalam Kejohanan Piala Asia U-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan.

Anak buah Brad Maloney berundur awal dari kejohanan itu selepas mereka tersingkir dalam saingan peringkat kumpulan yang menyaksikan mereka berada di kedudukan paling bawah Kumpulan C tanpa sebarang mata.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media selepas pasukan muda negara dikalahkan oleh Vietnam 0-2 malam Rabu, Maloney mengaku bahawa pasukan itu melalui detik-detik yang amat memeritkan sejak enam minggu lepas, bertanding dalam kedua-dua kejohanan itu dalam tempoh yang amat singkat.

Bagaimanapun, jurulatih yangt berasal dari Australia itu percaya bahawa pengalaman yang diraih pasukan muda negara itu di Uzbekistan akan menguatkan semua 15 pemain muda itu dalam menyediakan diri untuk edisi kejohanan berikutnya.

Mengulas perlawanan dengan Vietnam, beliau berkata, insiden penalti dan layangan kad merah terhadap Muhammad Hairiey Hakim Mamat benar-benar mengubah rentak permainan.

"Ya, sudah tentu ia sangat mengecewakan apabila gagal meraih sebarang mata dalam semua perlawanan. Ia memang sukar buat pemain kita, namun pujian harus diberikan kepada Vietnam,” katanya.

Sementara itu jurulatih berusia 50 tahun itu berkata, beliau tidak tahu mengapa Muhammad Hairiey dibuang padang, dan beliau enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Maloney berkata, beliau tidak terkejut sama sekali dengan persembahan mantap pasukan 'Golden Star Warriors', kerana mereka memerlukan kemenangan untuk memastikan tempat suku akhir.

Malaysia memulakan kempen di Tashkent dengan kekalahan teruk kepada juara Kumpulan C Korea Selatan, 1-4, pada 2 Jun, diikuti satu lagi kekalahan kepada Thailand, 0-3 Ahad lepas.

Keputusan itu bermakna pasukan muda negara gagal mengulangi kejayaan edisi 2018 dengan layak ke suku akhir dalam kejohanan di China, dan mereka kemudiannya tewas 1-2 kepada Korea Selatan. - Bernama