PRU15: Calon berwibawa, satu lawan satu fokus MN tawan Selangor

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Penampilan calon berwibawa dan konsep satu lawan satu menjadi strategi utama Muafakat Nasional (MN) di Selangor untuk menawan semula negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) nanti.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, agenda MN dan Perikatan Nasional (PN) masih kekal walaupun parti tersebut tiada ikatan rasmi pendaftaran.

Namun katanya, Pas boleh meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika parti itu komited dalam khemah besar melibatkan DAP.

"Sesungguhnya tidak ada kaedah lain menghadapi PRU15 di Selangor kecuali secara satu lawan satu untuk menumbangkan PH.

"Di sinilah perlunya parti-parti pembangkang di Selangor berlapang dada dalam membincangkan kerusi yang akan dipertandingkan pada PRU15 nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus berkata, para pemimpin parti tidak perlu bersifat angkuh yang menyebabkan kelakuan tersebut memberi kemenangan kepada pihak lawan.

Sebaliknya, beliau berkata, kekuatan di peringkat akar umbi dan jentera parti harus terus diperkasakan untuk menumpaskan PH di Selangor.

"Bagi Pas Selangor, perbincangan pertimbangan prinsip dan formula pembahagian kerusi dalam MN masih lagi terpakai bagi mengelakkan persaingan tiga penjuru.

"Apapun selagi tiada arahan terbaharu dari Pas pusat itulah pendirian Pas Selangor yang tidak bercanggah dengan keputusan Pas pusat sehingga kini," katanya.