Kerajaan kaji semula semua sistem percukaian

Tengku Zafrul bercakap kepada media semasa hadir pada majlis Rumah Terbuka Kelab Media Putrajaya Terlajak Raya pada Rabu. - Foto Bernama
Tengku Zafrul bercakap kepada media semasa hadir pada majlis Rumah Terbuka Kelab Media Putrajaya Terlajak Raya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan masih lagi mengkaji semula semua sistem percukaian yang pernah dan sedang dilaksanakan termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hasil kutipan cukai Malaysia lebih rendah 11 peratus berbanding negara jiran.

"Kementerian sedang menilai pelbagai perkara membabitkan sistem percukaian, termasuk kadar yang boleh digunakan sekiranya kerajaan mahu memperkenalkan semula GST," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir majlis Rumah Terbuka Terlajak Raya Kelab Media Putrajaya, dekat sini pada Rabu.

Menurut Tengku Zafrul, proses kajian memakan masa yang lama kerana GST adalah undang-undang yang dimansuhkan, justeru proses libat urus serta kajian perlu diteruskan.

"Ia akan dibahaskan di Parlimen dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan bulan," katanya.

Beliau berkata, SST perlu diperhalusi kerana didapati banyak berlaku ketidakcekapan.

"Berikutan itulah kebanyakan negara berpindah ke sistem percukaian GST," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak 175 atau 90 peratus negara di dunia menggunakan sistem percukaian GST.

"Kita perlu dana ini untuk pemulihan ekonomi kerana pembangunan negara adalah bergantung kepada kutipan hasil negara," katanya.