Itali patut menang lebih besar

Pemain Itali, Lorenzo Pellegrini (kiri) cuba melepasi halangan daripada pemain pertahanan Hungary, Adam Nagy pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Dino Manuzzi pada Rabu. - Foto EPA
Pemain Itali, Lorenzo Pellegrini (kiri) cuba melepasi halangan daripada pemain pertahanan Hungary, Adam Nagy pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Dino Manuzzi pada Rabu. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini menyifatkan skuad kendaliannya itu seharusnya menang lebih besar ketika menewaskan Hungary 2-1 pada aksi Liga Negara-Negara UEFA, pada Rabu.

Menurut Mancini, terlalu banyak peluang yang gagal dimanfaatkan jentera serangan bagi menghasilkan jaringan pada perlawanan berkenaan.

“Bagi saya, pemain telah beraksi dengan cukup baik pada perlawanan kali ini. Banyak peluang menjaringkan gol berjaya dicipta.

“Bagaimanapun, kebanyakan peluang berkenaan gagal dimanfaatkan untuk membolehkan kita memenangi perlawanan dengan jurang yang lebih besar.

“Apa pun, keputusan ini masih boleh diterima dan bagi saya ia boleh diperbaiki lagi pada perlawanan akan datang,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan Nicolo Barella membuka jaringan buat skuad Azzurri pada minit ke-30, sebelum Lorenzo Pellegrini menjaringkan gol kedua pada minit ke-45.

Hungary kemudiannya bangkit merapatkan jurang pada minit ke-61 hasil jaringan sendiri Gianluca Mancini pada minit ke-61.

Mengulas lanjut, Mancini berkata, dia gembira dengan kemenangan berkenaan sambil menyifatkan kesebelasan pemain telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan.

“Kami telah mempamerkan aksi terbaik di sepanjang perlawanan terutamanya pada separuh masa pertama.

“Namun selepas ini diharapkan agar pemain tidak lagi mempersia-siakan peluang di depan pintu gol lawan bagi menjaringkan gol,” katanya.