USM dan Perkeso perluaskan kerjasama perkhidmatan rehabilitasi

A
A
A

Klinik Neuro-Robotics & Cybernics di IPPT USM menyediakan pelbagai perkhidmatan rehabilitasi robotik yang canggih kepada pencarum PERKESO terutamanya di utara tanahair.
Klinik Neuro-Robotics & Cybernics di IPPT USM menyediakan pelbagai perkhidmatan rehabilitasi robotik yang canggih kepada pencarum PERKESO terutamanya di utara tanahair.

BERTAM - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengukuhkan lagi hubungan kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM dan Perkeso serta perasmian Klinik Neuro-Robotics & Cybernics IPPT, pada Khamis.

MoA itu telah ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan manakala Perkeso pula diwakili oleh Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat, Muhammad Amyzaddin Raya dan disaksikan oleh Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, Profesor Dr Tunku Kamarulzaman Tunku Zainol Abidin serta Ketua Jabatan Pengurusan Hilang Upaya dan Vokasional, Pusat Rahabilitasi Perkeso, Nazatul Akma Zawawi.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed berkata, MoA itu akan menyediakan tujuh wad berkembar di IPPT USM dan menambah wad sedia ada di HUSM kepada 15 Single Ward, mulai 1 September 2022.

Menurutnya, dengan kerjasama strategik itu, USM dan Perkeso dapat memperluaskan lagi penyampaian perkhidmatannya menerusi bidang kepakaran masing-masing demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Katanya, inisiatif kerjasama rakan strategik antara Perkeso dengan USM telah bermula pada 17 September 2020 dengan pengoperasian Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Sebanyak enam unit Cyberdyne Hybrid Assistive Limb (HAL), iaitu tiga unit HAL Lower Limb, dua unit HAL Single Joint dan satu unit Lumbar telah ditempatkan di HUSM untuk merawat Orang Berinsurans Perkeso yang mengalami kecederaan saraf tunjang, strok atau keadaan neurologi lain.

“Melalui kerjasama strategik ini juga, sebanyak 10 bilik Single Wad Korporat HUSM telah disediakan kepada pesakit yang memerlukan penginapan serta rawatan rehabilitasi intensif di sini. Sehingga kini, lebih 80 Orang Berinsurans Perkeso telah menjalani rawatan di HUSM,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Muhammad Amyzaddin.

Beliau berkata, USM merupakan organisasi pertama selain Perkeso yang menyediakan rawatan teknologi Cybernics di Malaysia.

“Tahniah kepada pasukan USM serta Perkeso yang berjaya merealisasikan kerjasama ini dan penyediaan Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik di HUSM. Kami yakin lebih ramai Orang Berinsurans Perkeso akan mendapat manfaat daripada rawatan rehabilitasi di sini.

“Hasil kejayaan ini telah menggerakkan inisiatif untuk mengembangkan lagi kerjasama strategik Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik ke IPPT di Bertam yang berjaya direalisasikan pada bulan Mac lalu.

“Sebagaimana di HUSM, sebanyak enam unit Cyberdyne HAL (Hybrid Assistive Limb) telah ditempatkan di IPPT. Sehingga kini, seramai 36 Orang Berinsurans Perkeso telah menerima rawatan di sini,” katanya.

Mohamed Azman turut berharap dengan lanjutan kerjasama strategik antara pihak USM dan Perkeso akan menjadi pemangkin kepada usaha kedua-dua organisasi itu memperluaskan penyampaian perkhidmatan rehabilitasi dan rawatan neuro-robotik yang efektif, canggih serta berkualiti bukan sahaja kepada pencarum Perkeso yang ditimpa bencana, malah kepada segenap lapisan masyarakat yang memerlukan rawatan pemulihan ini.

Sementara itu, Dr Tunku Kamarulzaman berkata, perkhidmatan rehabilitasi robotik yang ditawarkan di IPPT dapat membantu Orang Berinsurans Perkeso di utara Malaysia yang mengalami ketidakupayaan daya fizikal akibat kecederaan atau kemalangan kembali bekerja dalam masa yang singkat.

“Melalui perkhidmatan rehabilitasi robotik yang ditawarkan di Klinik Neuro-Robotics & Cybernics, diyakini mampu memberi kebaikan bersama bagi membantu membangunkan IPPT sebagai pusat perubatan ke peringkat yang lebih tinggi serta meningkatkan kualiti ke arah kecemerlangan USM,” katanya.