Haji: Lawat lokasi bersejarah di Madinah mampu perkuat ketakwaan

Kota Madinah. Gambar hiasan/ Agensi
Kota Madinah. Gambar hiasan/ Agensi
A
A
A

MADINAH - Program lawatan anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) ke tempat bersejarah untuk jemaah haji Malaysia dilihat mampu mengukuhkan lagi ketakwaan mereka kepada Allah.

Wafa Abdul Jabbar, mutawif yang bertanggungjawab membawa rombongan ziarah luar, berkata rata-rata jemaah yang tiba di sini sejak dua hari lepas teruja untuk menziarahi beberapa lokasi bersejarah.

"Kota Suci Madinah mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan di samping dapat menghayati perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat dengan rasa takwa dan berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia, " katanya kepada pemberita di dataran Masjid Quba.

Beliau berkata sebanyak tujuh bas digunakan untuk membawa jemaah ke Masjid Quba yang merupakan masjid pertama didirikan pada tahun pertama penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah.

Jemaah haji juga dibawa menziarahi kawasan Bukit Uhud dan Makam Syuhada Uhud yang merupakan tapak sejarah mengenai peristiwa kekalahan tentera Islam ketika menentang tentera bani Quraisy.

"Tewasnya tentera Islam ketika itu disebabkan keingkaran sebahagian tentera Islam dengan arahan Nabi Muhammad yang menyaksikan baginda mengalami cedera teruk serta 70 tentera Islam gugur syahid” katanya.

Beliau juga berkata, Perang Uhud jelas menunjukkan bahawa tarikan dunia, sikap tamak dan mengingkari perintah Rasul akhirnya hanya membawa kepada kebinasaan.

Pasangan suami isteri Ishak Hasan dan Siti Yulina Baharon pula berkata, lawatan ke Bukit Uhud memberi kesedaran kepada mereka mengenai kewibawaan serta kehebatan Nabi Muhammad.

Bagi Hapiz Ab Majid, 50-an, yang pertama kali menjejak kaki ke tanah suci, berkata penerangan mutawif ketika ziarah itu sangat baik dan jelas terutama dalam mengetengahkan kepentingan mematuhi arahan seorang ketua.

Menerusi program sama, jemaah haji turut dibawa menziarahi Masjid Qiblatain (yang pernah berkiblatkan Baitulmaqdis) dan Masjid Tujuh iaitu tempat berlakunya peperangan Khandaq serta ladang kurma bagi membolehkan mereka membeli buah tangan untuk keluarga apabila pulang ke tanah air kelak.

Seramai 1,309 daripada 14,306 jemaah haji Malaysia selamat tiba ke Madinah dengan kumpulan pertama pada 4 Jun lepas yang dijadualkan bertolak ke Makkah pada 9 Jun bagi melaksanakan ibadat umrah. - Bernama