Kontrak kutip sampah tidak akan disambung: Saarani

Saarani (tengah) melayan pelanggan yang hadir program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia.
Saarani (tengah) melayan pelanggan yang hadir program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia.
A
A
A

IPOH - Kontrak Majuperak Utilities Management Sdn Bhd yang menguruskan kerja berkaitan pungutan sampah di beberapa kawasan negeri ini tidak akan disambung setelah tamat pada November ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan itu diambil setelah kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Maknanya tempoh percubaan dua tahun akan tamat November ini jadi, selepas ini pihak berkuasa tempatan (PBT) akan kembali kepada cara asal.

"Mereka sendiri akan menguruskan pungutan sampah sama ada diuruskan pekerja PBT berkenaan atau memberi kontrak kepada kontraktor lain," katanya kepada pemberita pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.

Media melaporkan Saarani akan memanggil Majuperak Holding untuk mengarahkan syarikat itu menasihati Majuperak Utilities Management Sdn Bhd berhubung isu sampah yang meningkat disebabkan hari raya selain masalah kekurangan pekerja.

Kata Saarani, pihaknya menerima banyak permohonan daripada kontraktor lain yang menawarkan perkhidmatan mereka.

"Perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada PBT berkaitan untuk membiayainya berikutan ia berkait rapat dengan prestasi. Jika PBT tidak mampu bayar, ia akan menyebabkan prestasi syarikat itu rendah.

"Memang banyak syarikat buat permohonan tetapi PBT diingatkan untuk melihat perkara ini secara serius, buat kajian betul-betul sama ada berbaloi masuk menawarkan perkhidmatan," katanya.

Mengulas mengenai rungutan orang ramai berhubung kegagalan dalam pengurusan sampah di Ipoh, Saarani berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diminta melihat semula prestasi syarikat konsesi yang terlibat.

"Penduduk merungut kerana mereka membayar cukai dengan harapan MBI dapat memberi perkhidmatan baik. Saya melalui beberapa tempat di Meru mendapati sampah berselerak kerana anjing liar, lalat hingga menampakkan kawasan itu kotor.

"Jadi MBI perlu melihat semula dan beri amaran kepada syarikat konsesi yang bertanggungjawab kerana ia melibatkan harapan rakyat," katanya.