Tiada projek KPLB ditangguh walaupun harga bahan mentah naik

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

ALOR GAJAH - Semua projek infrastruktur dan perumahan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan terus dilaksanakan walaupun berdepan kenaikan kos.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ada projek akan berjalan seperti ditetapkan dan yang perlu menunggu harga baharu kerana kos bahan mentah dijangka mengalami kenaikan sehingga mencecah 15 peratus.

"Sangat terkesan sebab bahan binaan menjadi semakin mahal akibat daripada Covid-19 dan pasca Covid-19 yang mana (sektor pembinaan) tidak banyak pekerja, kekurangan sana sini. Jadi bahan pun naik dan ada yang terpaksa kita import barang barang itu.

"Jadi apa yang kita buat sekarang adalah tunggu Kementerian Kerja Raya bagi harga baharu dalam masa terdekat ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan majlis penutup kursus pemantapan pengurusan Kemas Daerah (SMART PKD) 2022 (Semenanjung) di sini pada Selasa.

Beliau berkata, bagi projek yang telah diberikan award termasuk jalan penghubung desa dan perumahan di bawah KPLB, ia akan berjalan seperti ditetapkan manakala yang lain akan menunggu harga baru.

"Sekarang ini pun kalau nak buat rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kos sebanyak RM56,000 itu sudah tidak mencukupi dan banyak kontraktor beritahu tidak boleh (bina) dengan harga serta meminta kementerian naikkan sikit (harga).

"Jadi ini yang kita sedang tunggu pelaporan penuh dan insya-ALLAH kerajaan akan naikkan sikit. Apa pun kita tunggu keputusan daripada JKR (Jabatan Kerja Raya)," katanya. - Bernama