Terkejut banyak spesies ikan terdampar


Pelbagai spesies ikan yang ditemui mati di dalam tasik terbabit.
Pelbagai spesies ikan yang ditemui mati di dalam tasik terbabit.
A
A
A

KUANTAN - Pengunjung di Taman Gelora di sini dikejutkan dengan ratusan spesies ikan yang terdampar di tasik itu sejak beberapa hari lalu yang puncanya masih belum diketahui.

Seorang pengunjung, Ahmad Ramadan Zainal, 36, berkata, dia menyedari keadaan tersebut sewaktu berjoging di kawasan tasik itu dua hari lalu.

Menurutnya, dia tidak mengetahui punca mengapa ratusan ikan itu terdampar namun berharap jabatan perikanan negeri dapat membuat siasatan segera.

“Setiap hari saya berlari di sini, dan setiap hari jugalah nampak ada lambakan ikan mati. Memanglah setakat ni jumlahnya tak sampai ribuan, tapi pihak berkaitan kena buat sesuatu nak kenal pasti punca," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tasik Taman Gelora, hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, fenomena ini mungkin disebabkan perubahan cuaca mendadak yang boleh menyebabkan kualiti air bertukar atau pencemaran air.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman berkata, pihaknya sedang menyiasat dan mencari punca kepada banyaknya ikan mati secara serentak di tasik itu.

Katanya, banyak faktor lain yang boleh menyebabkan pelbagai spesies ikan di tasik berkenaan mati, selain berlaku pencemaran air dan cuaca panas

Artikel Berkaitan:

Kejadian ikan mati di tasik Taman Gelora turut dikongsi netizen di media sosial.
Kejadian ikan mati di tasik Taman Gelora turut dikongsi netizen di media sosial.

”Pegawai kajian ikan akan mengambil contoh ikan termasuk air tasik berkenaan bagi mengenal pasti punca utama kejadian itu.

“Saya akui keadaan begini akan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat. Tapi dalam keadaan sekarang kemungkinan cuaca panas juga boleh menyebabkan ikan mati apabila suhu air di tasik berkenaan yang cetek meningkat secara mendadak.

"Faktor pencemaran dan penyakit disebabkan virus dan bakteria tertentu turut boleh menyebabkan ikan mati secara serentak, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum itu, terdapat satu posting yang memuat naik status dan gambar ikan terdampar di Tasik Taman Gelora yang tular dalam media sosial.

Dalam pada itu, Azahari berkata, air laut yang masuk ke dalam tasik ketika air pasang juga boleh menyebabkan ikan spesies siakap, tanda dan kerong-kerong mati hingga menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

Jelasnya, ini disebabkan kekurangan oksigen dalam kolam terbabit juga boleh menyebabkan berlakunya kematian ikan di tasik terbabit. 
 "Siasatan yang dilakukan hari ini mendapati pembinaan jalan berhampiran tasik berkenaan sejak beberapa hari lalu juga mengundang berlakunya pencemaran air hingga menyebabkan ikan mati," katanya.