Pengusaha makanan di rumah digalak daftar KKM

Khairy Jamaluddin (tengah) membuat gimik pelancaran Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 yang berlangsung di Hotel Sama-Sama KLIA, pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Khairy Jamaluddin (tengah) membuat gimik pelancaran Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 yang berlangsung di Hotel Sama-Sama KLIA, pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SEPANG - Pengusaha makanan di rumah (home based) digalakkan untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah tersebut adalah untuk memastikan jaminan keselamatan makanan.

"Buat masa ini, ia bukan wajib tetapi sangat digalakkan untuk mereka daftar," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini, pada Selasa.

Menurutnya, kementerian menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan teknologi makanan.

Katanya, BKKM juga mempunyai tanggungjawab penting untuk melindungi orang ramai dari bahaya kesihatan, dan penipuan di dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan melalui mandat yang diberikan di bawah Akta Makanan 1983.

"Kita lihat banyak permintaan makanan di pelbagai platform dalam talian, banyak perniagaan 'home based' meningkat ketika pandemik kerana ramai mula bekerja dari rumah.

"Industri makanan perlu terus meletakkan keselamatan dan kualiti makanan sebagai tanggungjawab utama dalam memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat dan berkualiti," katanya.

Khairy Jamaluddin membuat pelepasan flag-off peserta Program Hari Makanan Sedunia 2022 yang berlangsung di Hotel Sama-Sama KLIA pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Khairy Jamaluddin membuat pelepasan flag-off peserta Program Hari Makanan Sedunia 2022 yang berlangsung di Hotel Sama-Sama KLIA pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Khairy berkata, produk makanan yang dihasilkan hendaklah mematuhi keperluan perundangan makanan ditetapkan agar dapat memberi jaminan keselamatan makanan kepada pengguna.

"Terdapat beberapa pindaan yang sedang diteliti KKM termasuk status BKKM sama ada dikekalkan atau dinaik taraf sebagai pihak berkuasa keselamatan makanan," katanya.

Ujarnya, BKKM akan sentiasa memantau dan melakukan ujian terhadap kualiti makanan termasuk yang dijual di dalam talian khususnya makanan diproses.

"Sekiranya terdapat aduan dan mendapati ia tidak menepati standard serta piawaian, BKKM bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pendaftaran tersebut, beliau berkata, permohonan pendaftaran dibuka bagi memudahkan peniaga.

"Apabila memohon, mereka perlu ikut protokol ditetapkan dan kemudiannya akan disenaraikan dalam laman web kementerian," katanya.

"Protokol adalah sama seperti ditetapkan terhadap pengusaha restoran. Ia termasuk suntikan Tifoid," katanya.

Peserta Program Hari Makanan Sedunia 2022 merakamkan gambar bersama Khairy Jamaluddin. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Peserta Program Hari Makanan Sedunia 2022 merakamkan gambar bersama Khairy Jamaluddin. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Sejak 2019, 7 Jun diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ke-73 sebagai Hari Keselamatan Makanan Sedunia setiap tahun.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan makanan bagi melindungi dan menjaga kesihatan pengguna.

Tema tahun ini adalah Makanan Selamat, Kesihatan Terjaga.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong.