Permukiman Penerangan UMNO tekankan peranan jentera di 191 bahagian

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Permukiman Penerangan UMNO penting dalam memberi penekanan terhadap peranan jentera penerangan parti itu di 191 bahagian di seluruh negara sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berharap agar permukiman itu dapat menyuntik semangat semua Ketua Penerangan Bahagian untuk menggerakkan jentera bagi menjamin kemenangan mutlak Barisan Nasional (BN).

“Tanpa suara mereka di 191 bahagian di seluruh Malaysia dari kedai kopi ke surau taman perumahan, ke WhatsApp grup persatuan penduduk, tidak mungkin komunikasi tentang apa yang dilaksanakan oleh parti akan sampai ke akar umbi.

“Semoga permukiman ini bermakna dan menyuntik semangat kepada semua Ketua Penerangan Bahagian agar terus kembali ke kawasan masing-masing untuk menggerakkan jentera bagi bersiap siaga menuju ke medan perang dalam memastikan kemenangan mutlak BN pada PRU15,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Shahril Sufian berkata, sebagai persediaan menghadapi PRU15, seluruh Ketua Penerangan Negeri, Ketua Penerangan Sayap Negeri dan Ketua Penerangan Bahagian bermukim selama dua hari di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Bentong, Pahang.

“Ini bertujuan untuk membulatkan tekad, mengumpul kekuatan dan memperkasakan semangat,” ujarnya.

Permukiman yang bermula pada Jumaat itu dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diikuti sesi khas oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ditutup oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, turut berlangsung sesi penerangan bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.