Kursus integriti di IPT didik belia benci rasuah

Gambar kecil: Faizah, Muhammad Iman
Gambar kecil: Faizah, Muhammad Iman
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan mahasiswa berpandangan bahawa Kursus Integriti dan Antirasuah yang akan dilaksanakan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun depan mampu menjadikan golongan itu lebih cakna dengan isu rasuah di negara ini.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Faizah Abdul Rahman berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewajibkan silibus tersebut di seluruh IPT.

Menurut beliau, kursus itu juga dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada pelajar berhubung kesan serta akibat rasuah yang memudaratkan diri sendiri serta mencemarkan imej negara.

“Ini kerana kurang pemahaman mengenai definisi dan bentuk rasuah yang hadir dalam pelbagai cara menyebabkan golongan belia mudah terjebak dengan jenayah tersebut tanpa mereka sedar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.