[VIDEO] Umat Islam dinasihat tidak sertai festival Bon Odori

Idris semasa sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) di Mukim Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini. Foto Bernama
Idris semasa sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) di Mukim Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BESAR - Umat Islam dinasihatkan supaya tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung pada 16 Julai ini kerana didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan.

"Jadi kami nasihatkan orang Islam tidak menyertainya atau apa-apa juga program yang membabitkan soal agama serta akidah,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (Yapis) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai penganjuran festival tahunan Bon Odori iaitu perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka yang dijangka diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Poster promosi penganjuran festival itu juga memaparkan imej anime wanita berhijab yang memakai kimono dan ia mendapat reaksi negatif di media sosial terutamanya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pendedahan loji penyembelihan di Australia, Idris berkata, lelaki dikenali di media sosial sebagai ‘The Hood Man' (Abdullah) yang cuba dijejaki sebelum ini, telah dapat dihubungi dan semua maklumat yang diberi individu itu akan dijadikan bahan untuk tindakan seterusnya.

"Setakat ini syarikat yang terlibat telah digantung dan kita harap beliau tidak apa-apa (selepas pendedahan tersebut). Kita bersyukur dan patut menerima pendedahan sebegitu.

"Saya yakin di Australia tidak ada masalah bagi pendedahan sebegitu kerana negara itu mementingkan soal kepenggunaan,” katanya.

Jakim sebelum ini cuba mengesan ‘The Hood Man' (Abdullah) bagi membantu siasatan terhadap loji penyembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia, yang didakwa lelaki itu sebagai tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Jakim juga sudah menggantung operasi kira-kira 16 pusat loji sembelihan TFI Lobethal, Australia, sehingga hasil siasatan menyeluruh diperoleh.- Bernama