Polis akan panggil penganjur perhimpunan veteran ATM

Sekitar 1,000 veteran ATM berhimpun menuntut supaya diberikan perhatian oleh pihak kerajaan di Tugu Negara pada Isnin. - Foto Twitter @ZareenH_s
Sekitar 1,000 veteran ATM berhimpun menuntut supaya diberikan perhatian oleh pihak kerajaan di Tugu Negara pada Isnin. - Foto Twitter @ZareenH_s
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil beberapa individu terlibat menganjurkan perhimpunan membabitkan Sekretariat Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU6622 di Tugu Negara di sini pada Isnin untuk dirakam keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, beberapa individu telah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Kami telah mengenal pasti beberapa individu daripada pihak penganjur dan akan dipanggil untuk rakam keterangan.

"Pihak polis tidak menerima permohonan untuk berhimpun daripada penganjur jadi kes akan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Isnin.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan kira-kira 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhimpun di Tugu Negara di sini untuk menuntut beberapa perkara termasuk penyelarasan pencen dan dijaga kebajikan mereka oleh Kementerian Pertahanan.

Pengerusi bersama perhimpunan, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar dalam ucapannya berkata, tujuan perhimpunan tersebut diadakan adalah bagi menyampaikan tiga tuntutan utama kepada kerajaan.

Beliau mendakwa bahawa setelah lapan tahun berjuang untuk menegakkan tuntutan yang disifatkan sebagai 'hak kumpulan pesara', namun tiada tindakan dan perhatian diberikan kerajaan.