Kes curi data peribadi, kerajaan didesak pinda Akta 709

Fahmi
Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan didesak supaya membentangkan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) pada sidang Parlimen Julai ini susulan kes kecurian data peribadi yang semakin membimbangkan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dianggarkan lebih 100 juta set data peribadi di Malaysia dipercayai dicuri dari syarikat-syarikat atau badan-badan di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian.

Ujarnya, set peribadi itu merangkumi nama penuh, alamat, nombor telefon, nombor MyKad dan pelbagai maklumat peribadi yang lain.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan media, cuma satu kes kecurian data peribadi berprofil tinggi telah dibawa ke mahkamah sehingga hari ini, iaitu kes melibatkan 30 juta data peribadi pelanggan Malindo Air.

“Kes-kes kecurian berprofil tinggi melibatkan lebih 70 juta data peribadi yang lain sama ada masih belum dibawa ke mahkamah, atau hasil siasatan atau tindakan kementerian atau agensi bertanggungjawab tidak diketahui umum.

“Keadaan ini tidak baik untuk rakyat mahupun ekonomi Malaysia. Ke mana perginya semua data yang telah dicuri ini? Mengapa kecurian data masih kerap berlaku? Adakah data peribadi yang dicuri ini disalah guna penjenayah bagi tujuan penipuan (scam) atau aktiviti jenayah lain? Hal ini amat merisaukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Justeru katanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa perlu menggunakan peluang sidang Parlimen bermula 18 Julai nanti untuk membentangkan pindaan kepada Akta 709 itu.

Menurut Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau juga akan membawa satu Rang Undang-Undang Persendirian bagi tujuan meminda Akta 709 pada sidang Parlimen yang sama.

Tambahnya, Pada 12 Februari 2020, Menteri Komunikasi dan Multimedia pada ketika itu, Gobind Singh Deo telah memaklumkan bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) akan dikaji semula.

“Namun setelah berlakunya Langkah Sheraton serta bertukarnya Menteri-Menteri Komunikasi dan Multimedia, status kajian semula serta cadangan-cadangan pindaan terhadap Akta 709 masih belum diketahui umum.

“Memandangkan kejadian kecurian data peribadi belum dapat dihentikan (yang terbaru berlaku pada hujung Mei lalu), saya menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi memberi penjelasan segera berhubung status kajian semula Akta 709 serta langkah-langkah yang telah diambil bagi menjamin keselamatan data peribadi rakyat Malaysia, termasuk data peribadi yang disimpan atau dikendali agensi-agensi kerajaan,” katanya.