Penjawat awam maut, kereta dilanggar pemandu mabuk

Nahas membabitkan dua kenderaan menyebabkan seorang penjawat awam maut di tempat kejadian. - Foto ihsan pembaca
Nahas membabitkan dua kenderaan menyebabkan seorang penjawat awam maut di tempat kejadian. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KAMPAR - [DIKEMAS KINI] Seorang penjawat awam maut apabila kereta dipandu dilanggar pemandu disyaki mabuk yang memasuki laluan kenderaannya di Kilometer 1, Jalan Kuala Dipang- Malim Nawar di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa, Mohd Nazri Sham Aring, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, laporan awal kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa dan Honda Civic yang dinaiki dua lelaki.

Menurutnya, isteri mangsa berusia 33 tahun cedera ringan manakala anak lelakinya berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala.

"Hasil siasatan mendapati Honda Civic telah memasuki laluan kenderaan mangsa menyebabkan berlaku pertembungan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Kampar maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Mohamad Nazri berkata, pemandu Honda Civic berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk semasa kejadian.

"Suspek direman lima hari bagi membantu siasatan. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.