'Tentera ke takhta': Cerita seorang perwira

Karya yang mengandungi lima ceritera ini memaparkan perjalanan hidup Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dari detik kelahiran baginda sehingga ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-29. - Foto Bernama
Karya yang mengandungi lima ceritera ini memaparkan perjalanan hidup Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dari detik kelahiran baginda sehingga ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-29. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prapelancaran buku biografi ‘Tentera Ke Takhta’ tulisan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah disempurnakan pada Ahad sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Majlis prapelancaran buku setebal 305 muka surat yang menceritakan perjalanan hidup Sultan Sallehuddin temasuk pengalaman 10 tahun baginda sebagai anggota tentera sehinggalah ditabalkan sebagai Sultan Kedah itu disempurnakan secara dalam talian oleh Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Karya yang mengambil masa empat tahun disiapkan itu diterbitkan oleh Pejabat Sultan Kedah dengan kerjasama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Seri Libana Sdn Bhd dan Bukhary Sdn Bhd.

Buku itu diterbitkan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai langkah proaktif agar ia dapat dikongsi dengan pembaca tanpa batas sempadan bahasa, bangsa dan negara.

Menurut kenyataan yang diedarkan kepada pihak media sejurus selepas prapelancaran itu, catatan peribadi Sultan Kedah itu mampu membangkitkan semangat nasionalisme dan patriotik dalam kalangan anak muda serta boleh menjadi panduan generasi pewaris ketenteraan negara.

Sementara itu, Tunku Shazuddin ketika menyempurnakan majlis prapelancaran itu menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kedah serta pihak penerbitan kerana mengabadikan jasa dan penglibatan ayahanda baginda dalam bidang ketenteraan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam usaha menerbitkan buku," titah Tunku Shazuddin.

Hadir sama Pengerusi Rejimen Askar Melayu Diraja Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri, Pengerusi Kor Perkhidmatan Diraja Mej Jen Abdul Aziz Samsi @ Shamsudin, Panglima latihan Tentera Darat Mej Jen Datuk Nazari Abd Hadi dan Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Majlis pelancaran rasmi karya ini akan dilaksanakan bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dan akan berada di pasaran pada pertengahan Jun 2022. - Bernama